Friday 28 November 2014

ANZALNA NASIR KINI GIAT BERAMAL

ANZALNA NASIR KINI GIAT BERAMAL | Jika sebelum ini GUA pernah melaporkan yang pelakon Anzalna Nasir turun padang membantu golongan yang kurang berkemampuan pada bulan Ramadan lalu, kini usahanya dalam meneruskan perkara baik itu berterusan. 

Tampil dengan label pakaian DANZ, Anzalna mendedikasikan sebahagian daripada keuntungan hasil jualan label pakaiannya untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan. 

Saya baru sahaja mengusahakan label pakaian sendiri iaitu DANZ, hasil kerjasama dengan Diyanah Zaki, kakak kepada teman lelaki saya. 

DANZ menjual pakaian yang sesuai untuk semua wanita dengan harga yang berpatutan dan elegan. Kami juga berkolaborasi dengan pereka fesyen terkemuka, Cosry dan juga label pakaian Kree.

Sebahagian daripada keuntungan hasil jualan label pakaian tersebut akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. 
Bakal mula dijual bermula 29 November ini di Starhype Fiesta, The Strand, Kota Damansara, label pakaian DANZ juga boleh dibeli secara atas talian menerusi akaun Instagram @danzdesign.

Menurut Anzalna, ini adalah sebagai kesinambungan daripada aktiviti amalnya yang pernah dilakukan dahulu. 

Ini juga merupakan hasil kesinambungan aktiviti amal yang saya jalankan sebelum ini. Daripada hanya sekadar turun padang membantu dan melawat mereka, saya memikirkan cara lain untuk memberikan sumbangan lebih banyak kepada mereka yang memerlukan. 

Hasil jualan tersebut akan saya salurkan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU), rumah anak yatim, gelandangan dan juga kepada kanak-kanak yang hidup dengan penyakit kanser. Saya sendiri akan menjual label pakaian ini di Starhype Fiesta, The Strand, Kota Damansara pada 29 dan 30 November, bermula jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam, ujar Anzalna lagi. 

Dalam perkembangan lain, Anzalna kini sedang giat menjalani penggambaran bagi telenovela 148 episod, ‘A Love To Remember’ di samping Hisyam Hamid dan Afiq Muiz.

Telenovela tersebut bakal ditayangkan di beberapa negara luar dan produk tersebut adalah di bawah syarikat produksi Global Station Sdn Bhd yang memeterai perjanjian bersama (MoU) dengan Astro dan TV Azteca, Mexico. 

Saya kini menumpukan fokus dalam menjayakan watak Suraya untuk telenovela tersebut. Syukur kerana cita-cita saya dalam melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa tercapai kerana telenovela ini bakal ditayangkan di beberapa negara luar, ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment