'ADA SEBAB TAK PAKAI BAJU EZUWAN ISMAIL' - CHACHA MAEMBONG | Gambar kanan adalah baju rekaan Ezuwan Ismail yang sepatutnya dipakai oleh Cacha Maembong pada Anugerah Skrin 2014 yang diadakan 7 November lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Chacha Maembong memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menggayakan busana yang direka khas oleh pereka fesyen Ezuwan Ismail pada saat-saat akhir untuk menghadiri Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, 18, berkata, dia sudah memaklumkan hasrat berkenaan dan meminta maaf terlebih dahulu kepada Ezuwan.
"Bukan niat saya mahu kecewakan dia tetapi saya ada sebab sendiri kenapa tidak memakainya pada saat-saat akhir dan perkara itu sudah pun dimaklumkan kepada Ezuwan sebelum ke majlis anugerah tersebut.
Chacha (kanan) memilih untuk menggayakan busana daripada Fazil Diandra Couture pada malam ASK 2014.
"Saya memang nak pakai tetapi keadaan tidak mengizinkan dan pembantu saya sudah menguruskannya dan meminta maaf atas perkara yang terjadi itu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Chacha berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan pereka fesyen Ezuwan Ismail yang kecewa apabila baju rekaannya tidak dipakai Chacha pada ASK 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini pada Jumaat lalu.
Ezuwan melalui laman Instagram miliknya berkata, pelakon tersebut tidak memberikan sebarang alasan bertindak sedemikian dan tanpa rasa bersalah menggayakan busana pereka fesyen lain pada malam tersebut.
Ezuwan Ismail
Sementara itu, Chacha berkata, dia juga kesal dengan tindakan Ezuwan yang memuat naik kenyataan di laman sosial tanpa menghubunginya terlebih dahulu.
"Saya pun terkejut dan terasa hati apa yang dia tulis di laman sosial itu. Tidak salah kalau dia hubungi saya sahaja untuk beritahu perkara itu. Lagi pun dia tahu sebab apa saya tidak pakai baju itu," katanya.
Jelas Chacha, dia bernasib baik kerana dapat mencari baju pengganti iaitu rekaan Fazil daripada butik Diandra Couture pada saat-saat akhir untuk ke majlis berkenaan.
No comments:
Post a Comment